Friday, July 31, 2009

PRK lagi

maklumat dari http://idhamlim.blogspot.com tadi menyebutkan ADUN Pakatan Rakyat (PAS) bagi DUN Permatang Pasir, Pulau Pinang, Dato' Hj. Mohd. Hamdan Abd.Rahman telah kembali kerahmatullah di IJN KL pagi ini.

Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Kena berkampung lagi di Parlimen Permatang Pauh selepas PRK parlimen berkenaan dan DUN Penanti.

Berjumpa di Permatang Pasir nanti.

Al Fatihah.

Thursday, July 30, 2009

La Ada Lagi Yang Naik


RapidKL mengumumkan mulai 1 September ini tambang perkhidmatan basnya akan dinaikkan dengan kadar baru tambang harian naik sehingga 100 peratus.

Bagaimanapun, RapidKL akan memberi potongan harga antara 60 dan 80 peratus kepada pengguna yang membeli pas bulanan. Anda boleh baca di sini.

Nampaknya banyak yang "rakyat terpaksa didahulukan". Kenaikan ini pasti akan membebankan orang KL.

Tu la, nampaknya tak dengarlah nak turun harga barang-barang, yang dengar harga barang akan naik.

Nasiblah 1Malaysia.

Cerita bola sat

Manchester City (MC), kelab bola sepak yang dianggap kaya di Britain kini telah membeli ramai pemain bola sepak yang mereka yakin dapat membantu MC berjaya dalam saingan liga tahun ini.

Antara kelab yang menjadi pemain mereka sebagai belian MC ialah Arsenal. Dua orang pemainnya telah dibeli oleh MC iaitu Emmanuel Adebayor dan Kolo Toure.

Pembelian ini menyebabkan arsenal bagaikan kehilangan taring untuk bersaing tahun ini. Seorang penyerang dan seoarang pertahanan utama telah dibeli oleh MC.

Arsenal yang dikenali ramai, mempunyai ramai pemain muda berbakat dan pembelian pemain juga tertumpu kepada pemain muda.

Pembelian Arsenal tetap mendapat perhatian. Diharapkan mereka mampu bersaing dengan pasukan lain tahun ini yang mula membeli ramai pemain baru.

Wednesday, July 29, 2009

pro atau anti ISA

Pada 1 Ogos 2009, hari sabtu nanti, akan diadakan dua perhimpunan serentak di Kuala Lumpur. Satu akan menyokong ISA dan satu lagi akan minta ISA dimansuhkan. Jadi kedua-dua kumpulan ini jelas bertentangan tujuan mereka.

Jadi pada hari sabtu nanti akan ada dua kumpulan yang akan menyatakan citarasa dan pendapat mereka. Mereka akan sama-sama menyerahkan memo kepada YDP Agong menyatakan pendirian mereka.

Ini satu yang pasti akan menjadi sejarah besar kita kerana kedua-dua pihak boleh menghantar penyataan masing-masing kepada YDP Agong.

Apakah pilihan anda pada hari sabtu ini?

Monday, July 27, 2009

Bulan Puasa

Sekarang kita berada dalam Bulan Syaaban, tak lama kita akan menyambut bulan puasa (Ramadan). Jadi umat Islam mesti bersedia menyambut bulan seribu rahmat ini.

Dalam bulan Ramadhan diwajibkan umat Islam berpuasa. Berpuasa memberi maksud tidak boleh makan dan minum serta melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa seperti berkiut :

  1. Makan dan minum dengan sengaja.
  2. Bersetubuh dengan sengaja di siang hari.
  3. Muntah dengan sengaja seperti memasukkan jari ke dalam mulut.
  4. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga seperti hidung, telinga, dan sebagainya.
  5. Bersalin.
  6. Hilang akal disebabkan gila atau mabuk dengan sengaja.
  7. Kedatangan haid bagi perempuan.
  8. Mengeluarkan mani dengan sengaja pada waktu siang hari tetapi jika bermimpi tidak batal puasanya.
Selain dari kewajipan berpuasa di siang hari , Rasulullah S.A.W. juga menganjurkan supaya kita dapat mengerjakan solat tarawih sepanjang malam pada bulan Ramadan.Tarawih juga membawa maksud ‘ bersenang-senang atau duduk istirehat ‘. Jadi solat tarawih itu dilakukan secara bersenang-senang di setiap malam bulan Ramadan.

Walaupun begitu, dilihat ramai yang lebih bersiap menghadapi hari Raya Aidil Fitri. Ada yang sudah menempah pakaian, kuih raya dan sebagainya.

Sepatutnya kita kena harus bersiap untuk menghadapi atau menyambut bulan Ramadan sebelum menyiapkan diri untuk menyambut Aidil Fitri.

Selamat bersedia menyambut Ramadan.

Friday, July 24, 2009

Yakin Selamat?

Saya sudah beberapa kali ke Plaza Masalam, di Shah Alam. Saya tidak ambil kisah tentang apa yang ada di dalam bangunan berkenaan. Saya pergi ke sana sebab keluarga saya suka makan soto di salah sebuah kedai makan di bangunan berkenaan.

Tetapi minggu lepas kita dikejutkan dengan kematian seorang saksi di bangunan berkenaan apabila disoal siasat oleh SPRM. Kerajaan juga telah menubuhkan satu suruhanjaya siasatan terhadap kes berkenaan.

Kerajaan patut mengambil keadaan ini untuk membetulkan keadaan. Rakyat inginkan kebenaran. Mereka sekarang kurang yakin dengan keselamatan diri mereka, walaupun didalam kawasan yang sepatutnya selamat.

Suruhanjaya yang akan dibentuk nanti patut mengembalikan keyakinan rakyat terhadap keselamatan mereka.

Keselamatan rakyat adalah tanggungjawab kerajaan.

Berikan kembali keyakinan untuk rakyat merasa selamat.

Thursday, July 23, 2009

Separuh manusia, separuh syaitan

Seminggu lalu ketika makan di sebuah kedai makan, ada 'orang lama' berkata, "Ramai sekarang ni anak separuh manusia dan separuh syaitan."

Saya pun bertanya, "Kenapa begitu?"

Beliau berkata,"Kebanyakan pasangan yang berkahwin kini, pakai hentam sahaja, ketika berjimak ramai yang tak berdoa, jadi syaitan tumpang sekaki. Tu anak yang lahir setengah syaitan setengah manusia."

Begitulah adanya. Lihat suasana hari ini, gelagat dan perangai anak muda hari ini yang tidak menghormati orang tua, gejala sosial yang berlaku serta banyak anak luar nikah membuktikan kenyataan 'orang lama' tadi.

Marilah kita berdoa agar kita dikurniakan dengan anak yang soleh yang akan mendoakan kita apabila tiada nanti.

Amin..

Wednesday, July 22, 2009

Bebas Rokok?

Ada seorang rakan menghantar sms kepada saya dan menyatakan tahniah kerana Perlis menjadi negeri pertama bebas rokok dinegara ini.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah, jika undang-undang ini dilaksanakan. Rakyat dikawasan awam akan bebas dari asap rokok. Rokok jelas mengundang kesan kepada kesihatan orang ramai.

Lepas ini, bangunan Lembaga Tembakau kat Kangar tu kena tutup kot.

Jadi diharapkan keadaan akan menjadi baik di Perlis. Orang ramai akan lebih aman dengan suasana baru nanti.

Nanti ada yang kena pi Kedah nak isap curut........

Monday, July 20, 2009

Duit Rakyat Didahulukan

Sejak kebelakangan ini, dilihat banyak berlaku kenaikan dalam harga barang pengguna.

Harga untuk rakyat bergerak dengan kenderaan awam akan meningkat Ogos ini. Tarif elektrik juga akan dijangka naik. Minyak akan naik pada September ini. Selepas itu, barangan pengguna pula akan naik harga. Ini tentu akan membebankan pengguna.

Rakyat sudah banyak terbeban sejak akhir-akhir ini. Para menteri tetap menikmati kemudahan yang disediakan.

Dimanakah rakyat ingin mengadu?

Menteri yang mengumumkan kenaikan harga pengangkutan awam, begitu juga dengan harga minyak. Jadi bagaimanakah slogan rakyat didahulukan itu? Sepatutnya rakyat yang pertama menikmati kemudahan yang disediakan oleh kerajaan. Mereka yang menghantar para menteri ke Parlimen.

Tetapi mereka kini akan mula-mula merasai bahangnya. Mungkin slogan itu perlu ditukarkan kepada : duit rakyat didahulukan.

Saturday, July 18, 2009

Siasatlah dengan Telus

Kematian Teo Beng Hock di bangunan Masalam semalam memang menimbulkan banyak spekulasi tentang kematiannya. Orang ramai amat berharap pihak yang berwajib menjalankan siasatan dengan penuh ketelusan.

Beliau mati ketika/semasa dalam siasatan pihak SPRM. Jadi, sukar bagi beberapa pihak menerima perkara ini.

Dalam suasana pihak SPRM dan polis sudah diragui kredibilitinya, masa sekaranglah pihak berkenaan perlu membuktikan keupayaan mereka.

Adakah kita perlu mencari seorang "detective conan" yang menyiasat untuk mencari kebenaran dari kegemilangan diri? Biar diri tidak terkenal, tetapi maklumat perlu dicari.

Siapakah yang sanggup menjadi "detective conan" sekarang?

Friday, July 17, 2009

"Rakyat didahulukan"


Semalam telah diumumkan kenaikan harga untuk pengangkutan awam. Semua pengangkutan awam akan meninkmati kenaikan harga tersebut. Ini tentu menggembirakan pengusaha yang terlibat.

Kenaikan ini pasti memberikan kesan kepada pengguna yang ramai. Kesannya amat dirasai, kerana dalam suasana kegawatan sekarang, kenaikan ini pasti akan menekan rakyat.

Sebelum ini sudah diumumkan kenaikan petrol pada bulan September nanti.

Bayangkan tambang bas ke KL dari Perlis nanti ialah RM60. Ini sudah pasti jumlah yang besar jika mempunyai ramai ahli keluarga.

Dalam suasana ekonomi yang meruncing serta ramai yang kehilangan kerja, para menteri sepatutnya mengurangkan atau memotong elaun meraka. gaji mereka dibayar oleh rakyat. rakyat ramai yang susah. Kerajaan dan menteri patut melihat kesesuaian kenaikan harga tersebut. Kebanyakan pengangkutan awam digunakan oleh rakyat berpendapatan rendah.

Para menteri sepatutnya melihat keadaan tersebut sebelum menaikkan harga tersebut pada ketika rakyat akan menghadapi perayaan puasa dan sambutan Hari raya Aidil Fitri.

Fikirkan lah.

Wednesday, July 15, 2009

Perlu Lihat Kembali


PAS telah menang di PRK Manik Urai. Itulah keputusannya.

Walaupun begitu, majoritinya amat tipis iaitu 65 undi sahaja. Adakah BN telah berjaya menambat hati rakyat Kelantan?

Jadi PAS perlu melihat kenapa jumlah majoriti yang didapati amat tipis. Adakah jentera PAS rasa selesa atau berlaku keretakan dalam jentera parti? Adakah kemelut selepas muktamar telah dibawa ke MU?

Persoalan-persoalan ini perlu dijawab oleh pihak PAS. Jadikan keputusan ini sebagai landasan bekerja untuk mempertahankan DUN ini pada PRU nanti.

Selamat bertugas untuk Abe Uji.

Tuesday, July 14, 2009

PAS menang

PAS telah memenangi PRK DUN Manik Urai dengan majoriti hanya 65 undi sahaja.

Walaubagaimanapun usaha semua pihak serta doa pejuang seluruh negara telah memberikan kejayaan ini. Usaha pihak BN yang begitu bersungguh dari awal tentu telah menjadikan pilihanraya ini sebagai PRK yang cukup sengit.

Semoga dapat dibuat muhasabah, dan dekat dengan rakyat agar PRU nanti Pas dapat melebarkan kembali majoriti kemenangan.

Tahniah.

Setengah Hari


Difahamkan bahawa hampir 68 peratus pengundi telah keluar membuang undi di PRK Manik Urai hingga 12 tengahari.

Hanya dalam beberapa jam lagi, iaitu pukul 5 petang, pusat pengundian akan ditutup.

Jadi masih ada masa untuk pengundi turun membuang undi.

Calon dari parti PAS dan BN pasti berdebar menantikan keputusan. Kerja sudah buat, insyaAllah keputusan yang baik untuk semua di Manik Urai.

Selamat Mengundi di MU

Sekarang jam menunjukan pukul 12.03 tengah malam (14 Julai dah....).

Jadi lapan jam lagi orang Manik Urai akan turun ke bilik mengundi untuk memilih wakil mereka ke DUN Kelantan.

Semoga semua dapat membuat pilihan yang terbaik.

Petugas-petugas tu tolong pastikan setiap tugasan dapat dilaksanakan dengan berkesan. Jangan menyesal pulak nanti, kot ada terlepas pandang.

Selamat untuk semua di Manik Urai, petugas dan pengundi.

Kalau kata waktu berkempen dah tamat, media elektronik janganlah pula dok kempen lagi pagi nanti. SPR tak faham atau buat tak faham? Biar rakyat melihat ketelusan dalam menerima maklumat.

Jangan nanti orang ramai hanya menonton berita media elektronik, bukan untuk melihat berita tetapi apa yang 'nak kona'.

Selamat mengundi sekali lagi.

Monday, July 13, 2009

Kenapa di Masjid

Tadi selepas solat Maghrib di masjid berdekatan dengan rumah, ada seorang sahabat memberitahu bahawa dia kecurian motosikalnya seminggu lepas. Ia berlaku semasa solat Isyak di masjid.

Teringat saya, tahun lepas juga berlaku kecurian matosikal di masjid yang sama ketika jemaah solat Subuh.

Kenapa berlaku kecurian di masjid? Selipar tu dah biasa. Para penceramah mengajak orang ramai ke masjid untuk solat, tetapi jika datang masjid untuk mencuri lebih baik tidak datang.

Orang tidak pernah menyangka bahawa kawasan masjid merupakan kawasan yang boleh berlaku kecurian. Masjid dianggap kawasan yang selamat.

Tetapi hari ini, masjid mulai dikunci kerana keselamatan alatan masjid.

Pernah terjadi kipas dinding surau dikebas orang, maka jemaah yang solat terpaksa berpanas.

Masjid sepatutnya menjadi tempat untuk berehat kepada musafir terpaksa dikunci, kenapa ia boleh terjadi?

Adakah negara ini perlu kepada satu undang-undang yang adil dan saksama iaitu undang-undang Islam? Sudah sepastinya kerana Allah yang menjadikan bumi dan langit ini tahu tentang manusia dan isi alam ini.

Manusia sudah jauh lari daripada sifat yang baik, oleh itu kembalilah kepada undang-undang Pencipta bukan undang-undang manusia. Undang-undang manusia membawa manusia jauh daripada keadilan.

Hari ini, solat jemaah di masjid hanya dihadiri oleh kebanyakan orang pencen. Dimanakah golongan muda? Mereka mungkin dilalaikan dengan program lain?

Jadi pihak pemerintah, dengan menteri baru, rancanglah sesuatu agar masyarakat kembali ke masjid. InsyaAllah kita akan selamat di dunia dan akhirat.

Jangan masjid hanya dipenuhi ketika solat Jumaat dan program tertentu jika ada kehadiran orang kenamaan. Kehadiran seperti paksaan.

Kita harus mendidik masyarakat suka dan berminat untuk ke masjid. Pengisian harus difikirkan untuk menarik orang ramai ke masjid.

Jangan jadikan masjid tempat berlaku kecurian. Biar mereka sedar kelakuan itu berdosa dan boleh membawa kebinasaan kepada mereka di hari kemudian.

Siapa Pilihan rakyat Esok?

Esok (14 Julai) adalah hari pengundian di PRK Dun Manik Urai, Kuala Krai, Kelantan.

Siapakah pilihan rakyat Manik Urai? Adakah "11 hadiah" yang telah disebut oleh PM Najib akan menyebabkan UMNO akan dipilih oleh rakyat Manik Urai? Adakah pemansuhan PPSMI yang disebut akan dimansuhkan pada 2012 akan turut diterima oleh rakyat dengan dengan menyokong BN? Banyak hadiah lain yang disebut oleh menteri-menteri yang turun ke Manik Urai, adakah akan menarik undi kepada BN?

Rakyat sudah tentu akan membuat pilihan mereka yang tersendiri. Mereka akan menilai segala aspek sebelum menurunkan undi mereka. Mereka sudah mempunyai banyak pengalaman.

Rasanya mereka amat gembira kerana banyak menteri yang singgah ke rumah mereka seminggu dua ini. Adakah kehadiran tersebut akan menarik minat mereka kepada BN?

Sama-sama kita tunggu.......

Thursday, July 9, 2009

Bila Nak Mansuh Betui-betui?

Akhirnya kerajaan mengaku bahawa Pengajaran dan Pembelajaran sains dan Matematik dalam Bahasa Ingggeris (PPSMI) telah menemui kegagalan.

Perancangan yang tergesa-gesa dan tidak mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak yang sepatutnya telah menggagalkan dasar tersebut. Tetapi kenapa untuk memensuhkan dasar ini mengambil masa hampir tiga (3) tahun? Sedangkan ketika dasar ini diperkenalkan dahulu hanya mengambil masa beberapa bulan sahaja.

Kebangkitan rakyat menentang dasar ini pada Mac lalu memang memberikan kesan kepada kerajaan. Mereka mesti takut dengan kebangkitan rakyat.

Pada awal ogos nanti, sekali lagi rakyat akan berkumpul untuk meminta kerajaan memnghapuskan ISA.

Sama-samalah kita turun nanti.

Apakah Peranan Kita?

Semalam, penulis mengikuti satu kuliah yang bertajuk orang yang sengaja meninggalkan solat fardu. Dua sahaja hukum yang diberikan iaitu sama ada orang itu fasik atau kafir kerana segaja meninggalkan solat fardu.

Marilah kita sama-sama melihat tentang ramai orang Melayu/Islam yang sengaja meninggalkan solat. Cuba ke pasar malam, kita dapat melihat dengan jelas pada waktu Maghrib yang singkat itulah begitu ramai orang akan mengerumuni pasar malam. Yang lebih menariknya, ramai penjual dan pembeli Islam/Melayu.

Apakah tindakan kita sebagai umat Islam untuk menyelesaikan masalah ini? Apakah peranan kerajaan dalam menyelesaikan masalah ini?

Kita berharap semua pihak mengambil perhatian terhadap hal ini kerana solat adalah tiang agama. semua pihak amat berperanan dalam hal ini.

Setiap pemimpin dalam rumahtangga patut menjalankan peranan mereka agar anak-anak dididik dengan amalan solat fardu ini. Jangan kita hanya berbangga dengan kejayaan anak-anak dalam peperiksaan, lihat juga sama ada mereka solat atau tidak.

Sama-samalah kita memainkan peranan untuk menjaga tiang agama Allah.

Wednesday, July 8, 2009

PPSMI?

PPSMI - pernah menghimpunkan rakyat Malaysia di Kuala Lumpur. Mereka berhimpun untuk membantah dasar tersebut.

Hari ini, kerajaan akan membuat keputusan untuk kekal atau hapus dasar tersebut.

Diharapkan keputusan yang akan dibuat memberikan kesan dan implikasi yang baik.

Adakah isu ini akan dimainkan oleh BN di Manik Urai? Ini kerana isu ini mungkin akan membantu BN di Manik Urai. Jadi ia pasti akan dijadikan isu, jika dasar ini dihapuskan oleh kerajaan dan menunjukkan perihatin kerajaan terhadap masalah rakyat luar bandar yang terkesan dengan PPSMI.

Pakatan Rakyat perlu bersedia untuk menerangkan kepada rakyat di Manik Urai dan meneruskan "malang" BN tewas di PRK.

Jadi sama-sama kita tunggu keputusan kabinet dalam isu PPSMI ini.

Atau adakah keputusan ini hanya untuk menghadapi PRK MU? Perlaksanaan mungkin lambat lagi? Jadi perkara ini perlu diberikan perhatian oleh semua pihak.

Tuesday, July 7, 2009

Tolong Fikir Sat

Baca disini dan saya juga ada menulis disini.

Penulis ingin menyebutkan, bahawa kita nampak ramai orang tidak ke masjid bukan sahaja kerana masjid tidak mesra pelanggan, tetapi peraturannya.

Saya juga terkejut apabila pernah melihat ada kenyataan di masjid yang melarang jemaah tabligh tidur dan mengadakan aktiviti di dalamnya. Kita tidak tahu apa alasannya.

Masjid berhampiran dengan rumah penulis sering menerima kunjungan kumpulan tabligh. Kita dapat melihat bahawa masjid yang berkenaan dapat diimarahkan dengan bilangan jamaah yang ramai ketika waktu solat. Jika tidak, hanya bilangan yang biasa dan boleh dibilang dengan jari.

Masjid perlu dikembalikan peranannya. Peraturannya harus dapat menarik jamaah memenuhinya sepanjang masa. Tambahkan aktiviti didalamnya.

Biar ia dilihat sebagai pusat sehenti umat Islam dan memudahkan musafir.

Jangan kita biarkan masjid kosong dengan peraturan yang menyekat orang ke masjid.

Baik Sungguh Depa

Beberapa kisah timbul dalam masa-masa terakhir ini: tempat sembelih babi, tokong dan kuil, Kg Buah Pala dan seumpamanya.

Begitu baiknya media arus perdana memberikan peluang kepada parti yang lain daripada BN menyatakan pendapat mereka. Nampaknya banyak yang bercanggah dalam menyatakan pendapat mereka, begitulah yang dilihat di media.

Kenapa media memberikan ruang yang luas kepada parti selain BN? Awat depa baik sangatkah dengan parti-parti tersebut?

Kenapa pemimpin politik yang tidak setuju dengan BN pun rajin sungguh memberikan pendapat mereka kepada media berkenaan?

Mungkin inilah peluang nak masuk media arus perdana?

Jadi jangan dipergunakan oleh BN untuk menghancurkan Pakatan yang semakin di hati rakyat.
Pakatan telah menunjukkan satu persamaan dalam menghadapi BN iaitu keadilan untuk semua rakyat Malaysia.

Jangan hancurkan harapan rakyat.

Siapa orang MU berkenan?


Inilah wajah calon-calon yang akan bertanding mewakili Pas dan UMNO (BN) dalam PRK Manik Urai pada 14 Julai nanti.

Rasa-rasa siapa yang penduduk MU mahu mewakili mereka.

Monday, July 6, 2009

satu lawan satu

Terbukti di Manik Urai, hanya BN dan PAS sahaja yang akan bertanding.

Kedua-dua parti yang bertanding pasti telah menyediakan strategi untuk melayani kehendak pengundi.

Terbukti juga calon Bebas mula untuk tidak masuk campur kerana yakin dan pasti hilang wang pertaruhan. Hanya mungkin ada seorang yang mengisytiharkan dirinya bebas dan menang atas tiket Pas yang pasti sibuk di Manik Urai nanti.

Selamat berjuang untuk semua. Selamat bertugas kepada semua.

Rakyat di Manik Urai diharapkan tunjukkan kepada PM bahawa mereka menolak 1Malaysia.

Friday, July 3, 2009

Nampak dah...

Sekarang ni nampaknya pihak BN dok cuba memecahkan Pakatan.

Jadi kalau rasa BN dah dok mainkan isu untuk pecahkan Pakatan, Pakatan kena ambil tindakan membetulkan keadaan.

Pertemuan dalam Pakatan penting.

Walaupun untuk berbincang dengan UMNO untuk kebaikan Melayu, tetapi dapat dilihat UMNO cuba untuk menguatkan diri mereka dan mereka akan ketepikan Pas seperti tahun 70an dulu.

Ketika semua gerak kerja tertumpu di MU, maka kesempatan ini telah diambil dengan bersungguh oleh BN. Mereka perlu kepada isu kerana mereka dalam keadaan tertekan. Apabila Pemuda Pas cuba untuk berbincang dengan mereka, satu tonik untuk bangun telah mereka dapati. walaupun apa alasan, UMNO akan pasti ambil kesempatan.

Jadi bertindaklah dengan penuh hikmah, kerana musuh sentiasa mengambil peluang yang ada untuk kemengan mereka.

Thursday, July 2, 2009

Siapa Main siapa?

Pagi tadi, sambil bersiap untuk ke tempat kerja, ada perbincangan tentang tajuk menarik di akhbar. Di mulai dengan satu tajuk yang menarik seperti di sini. tajuk tersebut menarik minat saya, maka saya membacanya.

Dari satu aspek perbincangan yang dicadangkan itu amat baik untuk merapatkan hubungan sesama Melayu/Islam di negara ini. Tetapi dari segi lain seolah-olah Dewan Pemuda membelakangkan keputusan kepimpinan Pakatan. Isu ini sudah mula digunakan oleh UMNO untuk memecahkan perpaduan Pakatan.

Kita dapat melihat beberapa ulasan perkara ini disini, disini, dan disini.

Banyak lagi pendapat yang telah dikemukan tentang isu ini.

Kita berharap, Dewan Pemuda melihat perkara ini sama ada sesuai dengan suasana dan keadaan semasa.

Banyak perkara yang akan cuba dimainkan oleh UMNO kerana, orang mereka sendiri tidak bersungguh untuk mencari titik pertemuan tetapi hanya untuk kepentingan politik mereka sahaja.

Wednesday, July 1, 2009

Manik Urai

Penamaan calon hanya seminggu lagi, nama kedua-dua calon parti utama, Pas dan BN telah diumumkan.

Tumpuan sekarang adalah strategi yang akan digunakan untuk menarik hati pengundi di DUN berkenaan.

Adakah calon atau parti pilihan para pengundi?

Calon yang diperkenalkan oleh kedua-dua parti dikatakan dikenali oleh penduduk tempatan. Siapakah yang lebih dekat di hati pengundi.

Adakah akan ada calon bebas menawarkan diri untuk bertanding kali ini? Adakah kehadiran calon bebas memberikan kesan kepada pola pengundian di kawasan tersebut.

Semoga PRK ini akan memberikan gambaran penerimaan masyarakat terhadap kedua-dua parti ini di Kelantan.

Bagaimanakah penerimaan penduduk Kelantan terhadap konsep 1malaysia?